Friday, 28 March 2014

Upacar Nyepi

Hari Nyepi

Hari Nyepi disambut dari pukul enam pagi hingga enam pagi hari berikutnya, untuk tujuan refleksi kendiri sahaja. Kebanyakan kegiatan seharian serta segala bentuk riadah dan hiburan adalah dilarang sama sekali pada hari kebesaran ini, berpandukan Catur Brata Penyepian (Empat Rukun Penyepian) yang membimbing para penganut Hindu untuk menghindari kegiatan duniawi untuk seketika. Empat rukun tersebut adalah seperti berikut:
  1. Amati Geni: Dilarang menyalakan api atau apa-apa sumber cahaya, termasuk sekali membuka api dapur. Oleh itu, penganut Hindu berpuasa pada hari ini.
  2. Amati Karya: Dilarang bekerja. Ini merangkumi semua bentuk perniagaan swasta dan kebanyakan besar perkhidmatan awam, termasuk sekali penerbangan (sehingga lapangan terbangnyaterpaksa ditutup pada hari ini). Hanya sektor perubatan, keselamatan dan kecemasan dibenarkan beroperasi pada hari ini.
  3. Amati Lelungan: Dilarang keluar rumah dan bersiar-siar, apatah lagi memandu kenderaan.
  4. Amati Lelanguan: Dilarang melibatkan diri dalam kegiatan hiburan atau riadah. Oleh itu, penganut Hindu di Bali tidak boleh sesekali memasang radio atau TV atau benda-benda seumpamanya yang meriuhkan suasana dan menghiburkan di rumah, apatah lagi beriadah di kawasan hiburan.
Peraturan Catur Brata Penyepian ini dikuatkuasa oleh pegawai seakan-akan polis agama yang dikenali sebagai pecalang yang meronda di sekitar kawasan penempatan penganut untuk memastikan agar peraturan ini dipatuhi dan dihormati oleh semua, termasuk sekali penduduk bukan Hindu dan pelancong asing. Segala penghindaran diri ini adalah tanda membuka lembaran baru yang serba kosong, suci dan bersih dari segala pencemaran diri sempena tahun baru. Untuk mengisi masa, penganut Hindu yang warak melakukan kegiatan meditasi atau yoga.
Pada hari kedua tahun baru Bali, setelah selesainya kewajipan menyepi, perayaan Nyepi diakhiri oleh kegiatan Ngembak Geni, yang mana kaum keluarga, sanak-saudara dan jiran tetangga bermaaf-maafan sesama sendiri atas kesalahan dan keterlanjuran yang dilakukan oleh mereka sepanjang tahun yang lalu.






No comments:

Post a Comment